Wednesday, December 9, 2015

Novel "Terbaik Bagimu" - Bab 8



Jam menunjukkan pukul 6:00 pagi dan Mirwan kelihatannya baru selesai mandi dan berwudhu untuk mengerjakan solat Subuh. Dia duduk di sebelah isterinya di atas katil itu sambil menggerakkan bahunya. Alisa masih dibuai mimpi dan sukar untuk dikejutkan bangun. Mirwan hanya mampu menggelengkan kepala. Lalu digerakkan lagi bahu Alisa sehingga dia naik geram lalu mengusir Mirwan dari sisinya. Mirwan tidak berputus asa lalu digerakkan lagi bahu isterinya itu sehingga isterinya bangun dan memposisikan dirinya dalam keadaan duduk.
“Awak ni kenapa suka kacau saya tidur?” Alisa dengan tiba-tiba memarahinya.
Mirwan dengan sabar membalas, “Saya kejutkan awak bangun solat Subuh. Salah ke?”
Alisa berleter sambil menuju ke kamar mandi, “Awak memang sengaja suka buat saya marah. Kalau saya tak bangun awak sembahyang seorang tak boleh?”
Mirwan hanya tertawa kecil, “Saya tak boleh begitu. Saya perlu bertanggungjawab untuk memimpin awak ke jalan yang diredhai. Lagipun saya kan ketua keluarga.”
Alisa meninjau keluar sambil menjelirkan lidah, “Uwekk, tak perlu berlagak alim dengan sayalah! Awak pun sama gatal macam lelaki lain di luar sana.”
“Hai, nak kejutkan bangun solat Subuh pun salah ke?” Mirwan membebel sendirian.
Alisa keluar dari kamar mandi, “Apa yang awak membebel tu? Jangan ingat saya tidak dengar. Kalau awak mengumpat saya nanti tahulah apa saya nak buat dengan awak.”
Mirwan hanya mampu menggeleng kepalanya sambil menghampar sejadah untuk mereka berdua lalu bersiap sedia berdiri di hadapan untuk mengimamkan sembahyang Subuh bersama isterinya. Alisa pula sedang sibuk mengenakan telekung sambil berdiri di belakang suaminya. Setelah selesai, Alisa memberikan isyarat kepada suaminya untuk menandakan bahawa dia sudah bersedia. Mirwan pula mengangkat takbir dan meneruskan solat mereka.
Setelah kedua mereka selesai mengerjakan solat Subuh, Mirwan berpaling ke arah isterinya lalu isterinya bersalaman sambil mencium tangannya. Dalam hati hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa seronoknya bila isterinya mencium tangannya. Mirwan lalu mencium dahi isterinya lalu terasa seperti isterinya itu tidak sabar-sabar mahu melarikan dahinya dari dicium oleh suaminya itu. Sesudah bersiap-siap, Mirwan menghantar Alisa ke pejabatnya dahulu sebelum dia menuju ke pejabatnya sendiri.
Sepanjang perjalanan, Alisa hanya membisu seribu bahasa dan Mirwan tidak henti-henti cuba menceriakan keadaan. Kasihan melihatkan suaminya yang berusaha untuk menceriakan isterinya namun Alisa hanya membatu dan tidak langsung mengendahkan suaminya.
“Awak dah inform ke rakan-rakan sekerja awak pasal perkahwinan kita?” tanya Mirwan sedang dia memandu.
Alisa hanya mencebik bibir, “Apalah yang nak dihiraukan sangat? Buat macam biasa sudah lah. Bukannya ada apa-apa yang penting pun untuk diraikan.”


Setibanya Mirwan di lobi bangunan pejabatnya, dia disambut meriah oleh staf-staf di pejabat yang meraikan perkahwinan bos mereka dengan mengadakan jamuan meriah. Kelihatan rakan-rakan sejawat dan klien-klien terdekat turut serta meraikan. Pelbagai jenis hadiah diberikan kepada Mirwan sebagai cenderahati dan mereka menjamu dengan pelbagai hidangan lazat pada pagi itu. Sayang sekali Alisa tidak turut serta. Lantas setelah melayan semua tetamunya, Mirwan bergegas ke dalam biliknya untuk menelefon Alisa yang sedang berada di pejabatnya sendiri.
“Hello, sayang. Ini abang bercakap ni,” tanya Mirwan dengan berhati-hati.
Pertanyaan dibalas dengan kasar oleh Alisa, “Awak ni boleh tak kalau sehari tak kacau saya?”
Mirwan menarik nafas dengan dalam, “Abang hanya nak beritahu, dekat ofis abang ada sambutan meraikan perkahwinan kita. Sayang nak datang tak?” Hati Mirwan bercampur baur takut nanti kalau isterinya akan lebih marah dengannya nanti. Dia berdoa dalam hati agar dia tidak menerima maki hamun dari isterinya lagi.
“Okeylah saya sibuk ni. Boleh kita bincang lain kali?” Alisa kedengaran seperti tidak berminat.
Mirwan mematikan niatnya tadi, “Baiklah, maaf sekiranya abang mengganggu.”

Telefonnya dimatikan. Belum sempat untuk mengucapkan selamat tinggal atau “I love you” pun. Mirwan redha dengan ketentuan takdir. Ini jalan yang telah dia pilih dan dia akan bertanggungjawab atas segalanya. Dia percaya jodohnya dengan Alisa dan dia akan berusaha sedaya upaya untuk membahagiakan isterinya itu, separuh jiwanya. Lamunannya terhenti tatkala daun pintunya diketuk dan Mirwan lalu membetulkan kedudukan dirinya lalu memanggil tetamunya itu masuk.

No comments: