Friday, September 25, 2015

Novel "Hanya Dirimu Seadanya" - Bab 1



“Bukan RM20 ke?” tanya wanita muda yang dalam linkungan 20-an itu kepada  seorang tukang jahit yang agak dua tahun lebih tua darinya itu.
“Memang RM100 lah cik. Lagipun material yang kami guna itu pun original tahu?” pekedai itu mempertahankan pihak beliau.  Butik Kaisarah itu kelihatan cukup lengang hari ini tidak seperti kebiasaannya. Selalunya pelanggan terpaksa menunggu giliran yang agak panjang dan kebiasaannya baju-baju tempahan mereka akan siap selepas seminggu. Aura Melissa Khairie sudah tidak dapat menahan sabar lagi. Wajah jelitanya dimuncungkan kerana dia tidak mendapat apa yang dimintanya. Sudah lebih 4 jam dia menunggu tempahannya dan kalau dihitung hampir dua minggu semenjak dia menghantar tempahan pakaian kerjanya untuk disiapkan. Merepeklah kalau dia membiarkan sahaja perkara ini sedangkan dia telahpun menghabiskan hampir RM500 untuk set baju ini.
“Betullah cik. Saya dah check dengan Puan Salmah yang tempahan cik ini memang pun bernilai RM100,” rungut tukang jahit itu lagi.
Sambil berbasa-basi, Melissa pun mengeluarkan dompetnya sambil memandang sayu pada not RM100 yang sedang dibeleknya. Habislah belanja untuk bulan ni, mak oi. Namun baju ini lebih penting sebab minggu depan dia akan menghadiri temuduga yang sangat penting. Cukuplah pengalaman pahit yang dihadapinya sewaktu menuntut di universiti swasta 5 tahun lalu. Rasanya dia sudah bersedia untuk menghadapi hari baru dan melangkah ke alam baru yang bakal menjanjikan berjuta impian untuk dirinya nanti. Dia menggulung helaian rambut perangnya dengan jari sambil menghela nafas memandang tukang jahit yang sedang sibuk membungkus tempahannya tadi. Sambil itu dia membetulkan kemeja T kelabu yang dipadankan dengan jeans biru lusuh.
“Terima kasih, cik. Sila datang lagi ye?” Tukang jahit itu menghulurkan beg plastik yang berisi tempahannya itu dengan senyuman melirik.
“Tak apalah, lain kali mungkin saya akan jahit sendiri kot,” balas Melissa dengan selamba.
Aura Melissa ini bukanlah calang-calang perempuan. Bertubuh montok dan genit namun dia memiliki aura kewanitaan yang sejati. Mata galaknya membuatkan ramai jejaka yang sama-sama menuntut di universiti bersamanya itu terpesona. Namun bukan mudah hendak menawan hati Aura Melissa. Sentiasa mengenakan pakaian yang sopan dan simple membuatkan ramai rakannya yang mengejeknya, kononnya dia bersifat kekampungan dan out-dated. Sampai hati diorang cakap aku macam tu? Hebat sangat ke kalau pakai skirt pendek dengan baju yang expose dada tu? Melissa tidak sudah-sudah merungut sambil berjalan menuju ke arah kereta miliknya yang baru sahaja dibelikan oleh ayahnya itu. Melissa dah hampir 2 tahun lulus lesen kenderaan namun keinginan itu disimpan dalam hati. Betul juga kata ayah dan ibunya, kita harus bersusah payah untuk mendapatkan apa yang kita mahu barulah segalanya lebih indah.

Sebaik sahaja dia selesai mengelamun di hadapan keretanya, dia terus tersedar lalu menaiki kenderaan Mini Cooper bitu metalik miliknya. Kereta kecil macam ini memang sesuai untuk wanita secomel dirinya. Nak besar-besar sangat pun buat apa bukannya dia terer pun dalam bab parking kereta ini. Dia menghidupkan enjin kenderaan sambil memandang kiri dan kanan lalu mengundur ke belakang. Sedikit demi sedikit, dia berundur ke belakang sambil mengira langkah demi langkah. Pang!!!
“Alamak! Apa yang dah aku langgar pulak ni?” getusnya dalam hati, perlahan.
Melissa masih cuak dan gementar. Setahunya tadi tiada kenderaan pun yang berada di belakangnya jadi bagaimana pula dia boleh melanggar sesuatu? Kalau betul terlanggar, matilah aku! Mana nak cari duit untuk ganti rugi? Dengan tenang dia mematikan enjin keretanya itu sebelum melangkah keluar untuk memeriksa keadaan sebenar. Dalam hatinya dah berfikir yang bukan-bukan. Maklumlah ini kali pertama dia bawa kereta keluar seorang diri. Selalunya sepupu lelakinya, Eizlan Saidin yang menemaninya untuk keluar memandu. Dia memang mangsa yang mudah dalam keadaan terdesak begini. Dengan tangan yang menggeletar dia bergerak menuju ke bahagian belakang keretanya.
Alangkah terkejutnya Melissa apabila mendapati seorang lelaki yang tinggi lampai, bertubuh tegap dan sasa malah sungguh kacak pada matanya sedang berdiri dihadapannya sambil berpeluk tubuh. Walaupun memakai kacamata hitam Rayban, kemarahan lelaki itu cukup ketara pada raut wajahnya. Kulitnya yang putih seperti kulitnya sendiri itu bertukar kemerahan barangkali kerana menahan perasaan geram. Dahinya berkerut dan nampaknya seperti dia sedang mengetap bibir. Aduh, matilah aku kali ini. Sambil itu dia memandang ke arah kenderaan mewah di hadapannya itu. Pacuan empat roda Mercedes yang berwarna keemasan itu nampaknya calar teruk di bahagian lampu hadapannya. Lampu depannya pecah pula. Melissa semakin tidak keruan lalu memandang lelaki tersebut sambil tersenyum takut.
“Maafkan saya, encik. Tapi saya boleh jelaskan,” mohon Melissa pada lelaki tersebut.
Lelaki tersebut hanya menanggalkan kacamata sambil mendengus, “Saya tak mahu dengar apa-apa.” Suara lelakinya yang seksi itu penuh dengan nada marah. Kecut perut Melissa apabila mendengar kata-kata lelaki tersebut.
Melissa masih tidak putus asa, “Saya betul-betul minta maaf. Saya tidak sengaja melanggar kereta encik.”
Lelaki itu memandang Melissa dari atas ke bawah dengan teliti sambil tersenyum sinis, “Ah, kalau dah dasar selekeh bawa kereta, macam itulah jadinya.” Dia memandang Melissa dengan pandangan yang cukup menyingkirkan. Ngilu hati Melissa, rasa seperti dirinya itu pengemis yang tiada harga diri. Lelaki berjalan melepasinya sambil berpaling dengan melemparkan kata-kata yang amat mengguriskan perasaannya. “Saya rasa awak tak patut bawa kereta. Apa kata awak jalan kaki. Lagipun perempuan selekeh gaya awak ni hanya sesuai naik beca jer paling terer pun.”
“Eh, awak!” Melissa sudah sampai di batas kesabarannya, “Awak jangan sedap mulut jer nak kutuk saya macam-macam!”
“Kenapa? Saya salah ke? Baik, siapa yang langgar kereta siapa sekarang?” Lelaki tersebut menghampiri Melissa dengan gaya ugutan. Matanya merenung tajam pada susuk tubuh genitnya itu terutama di bahagian buah dadanya. “Kalau ikutkan saya, saya mahu awak bayar ganti rugi tahu? Kereta ini kalau dibaiki mencecah hampir RM2000. Jadi awak mahu bayar ke sekarang atau mahu saya saman awak?”
Melissa menunduk sambil menahan airmatanya dari mengalir. Cukuplah kalau dimarahi namun lelaki ini terus menerus menghentamnya, mengutuk malah memperlekehkannya begitu sekali. Ya Allah, kenapa nasib aku malang sungguh hari ini? Dia kembali menatap wajah kacak lelaki tersebut. Kelihatan ketara riak angkuh pada wajahnya itu. Hidungnya yang mancung dan mulutnya yang menawan itu amat melukakan perasaannya. Sut mewah serba hitam yang membalut tubuh sasa itu menampakkan karekter  lelaki tersebut yang cukup gah dan sombong.
“Saya akan bayar ganti rugi encik itu, tapi beri saya peluang dalam 2 minggu. Saya akan mula temuduga minggu depan dan bila saya dapat kerja saya akan lunaskan hutang tersebut,” Melissa teragak-agak dengan apa yang dikatakannya.
Lelaki itu membongkok dan mendekatkan wajahnya pada Melissa, “Awak nak bayar saya? Saya tidak percaya. Selalunya perempuan macam kamu ini semuanya hanya penipu sahaja.”
Melissa mengeluarkan telefon pintar miliknya lalu menghulurkannya pada lelaki tersebut. Dia memandang lelaki tersebut dengan wajah yang sayu, “Awak simpan telefon ini. Ia amat berharga buat saya. Ini adalah jaminan saya.”
Lelaki itu memegang telefon tersebut dengan keadaan yang amat menjengkelkan, “Awak nak saya simpan sampah ni? Awak ni memang hebat sungguh. Awak sedang berdrama dengan saya ke?” Lelaki tersebut menggeleng kepala. Dia tersenyum sinis sambil menghulurkan tangannya untuk menyentuh wajah Melissa. “Saya lebih suka kalau ia ditukar dengan diri awak. Bagaimana? Satu malam dengan saya dan hutang awak ini saya kira hangus.”
Melissa menepis tangan lelaki itu sambil satu penampar hinggap pada wajah kacak lelaki tersebut. Kesan tapak tangan Melissa jelas kelihatan pada wajah lelaki tersebut. “Awak ni memang dasar lelaki tak guna, kan? Tidak tahu hormati wanita langsung! Pergi mati lah dengan hutang awak itu!” Melissa berlalu meninggalkan lelaki tersebut lalu menuju ke arah keretanya.
“Awak simpan je lah telefon saya tu. Saya akan bayar awak seperti yang saya janjikan!”
“Hei, awak mahu pergi mana? Tunggu dulu perempuan! Bedebah betul,” Lelaki tersebut membaling batu pada kereta milik Melissa sambil menjerit kerana marah.
Melissa berasa lega, akhirnya dia dapat juga membalas perbuatan lelaki tersebut padanya. Memanglah dia tu hensem, hot dan sasa malah kaya pula tapi janganlah buat orang sekeliling dia macam sampah pula. Lagipun bukan dia seorang jer yang kaya di dunia ini jadi tolonglah hormat hak orang lain juga.
Tapi tidak dinafikan lelaki tersebut memang taste Melissa. Gaya mengalahkan hero Korea. Rambut dah macam coklat bercampur warna perak. Kulit dia memang putih bersih dan kekacakannya seperti dia berdarah kacukan Inggeris. Susuk tubuhnya cukup tinggi sampai sakit tengkok Melissa mendongak memandangnya. Wangian jenama antarabangsa yang dipakainya cukup keras dan menusuk jiwa. Otot-otot sasa pada tubuhnya jelas kelihatan walaupun dia mengenakan sut sepenuhnya, tidak seperti orang yang selalu duduk di belakang meja pejabat nampaknya.
Aura Melissa akhirnya tiba di perkarangan rumahnya. Ibunya tersenyum gembira menantikan kepulangan anak perempuannya. Melissa mempamerkan riak wajah ceria untuk mengelakkan ibunya kerisauan. Kebelakangan ini ibunya sering sahaja jatuh sakit dan dia tidak mahu merumitkan lagi keadaan. Ayah pula bukanlah sekuat dulu untuk menjaga keluarga. Melissa sudah mula dibebankan dengan tanggungjawab untuk menjaga keluarga. Segalanya semenjak syarikat ayahnya jatuh muflis beberapa tahun lalu. Semenjak kejadian itu hidupnya berubah dengan mendadak. Dia tidak lagi dapat bermanja dengan keluarganya seperti dulu. Usia remajanya dihabiskan dengan membantu keluarganya keluar dari roda kesusahan tersebut. Namun segalanya membuahkan hasil  apabila Melissa berjaya menstabilkan kedudukan ekonomi keluarga dan menyelamatkan rumah mereka.
“Macam mana Lis, dah dapat baju yang kamu tempah tempohari?” tanya ibunya, Khadijah sambil memotong dahan-dahan pokok di halaman rumah.
“Macam tu jer lah mak. Naik harga pulak kali ini. Lis kena bayar RM100 dekat kedai tu tadi,” balas Melissa dengan lemah.

Khadijah mengeluh panjang. Dia tahu betapa sukarnya mencari duit di zaman sekarang ini. Namun kehendak anaknya untuk ditemuduga syarikat terkenal itu tidak dapat dia sangkal. Anaknya berhak membuat pilihan terbaik untuk masa hadapannya. Melissa perlukan perhatian dari seorang suami yang boleh membahagiakannya. Namun kalau karier adalah pilihan utamanya, ibunya tidak mungkin sedikit pun akan membantah.

3 comments:

Unknown said...

I nak novel nii . ade jual tk ?

Unknown said...

I nak novel nii . ade jual tk ?

aznorazizul said...

Salam Frh Azmi,

Buat masa ni belum lagi melalui mana2 proses pembukuan. Doakan insyallah moga dapat disiapkan segera.