Wednesday, December 9, 2015

Novel Terbaik Bagimu - Bab 7



Hi semua,

Minta maaf banyak2 sbb terlalu sibuk dengan urusan kerja hingga terlupa untuk update bab baru. Harap korang enjoy bab yang terbaru ni ye? Apa-apa nanti saya akan update kemudian nanti.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mirwan kembali ke suite bulan madu mereka sambil berjalan perlahan menghampiri katil Alisa lalu duduk di sebelahnya. Alisa menoleh ke kanan sambil merenung suaminya yang kegusaran sambil memandang pada dinding. Jarang sekali dia melihat suaminya runsing begini kerana selalunya suaminya adalah seorang yang rasional. Alisa pula yang berasa risau bila melihat keadaan suaminya begini lalu bangun dan duduk di sebelahnya sambil memegang bahu suaminya. Suaminya tidak pula tersenyum dengan perbuatannya tadi. Parah ni, apakah Mirwan sedang dilamun cinta bersama wanita lain pula. Menyesal pula dia meninggalkan suaminya berseorangan di parti itu tadi.
“Kenapa dengan abang ni?” tanya Alisa sambil menggosok belakang Mirwan.
Mirwan membalas tenang, “Abang cuma berfikir tentang ada seorang wanita tadi.”
Alisa bengang lalu menumbuk lengan Mirwan, “Awak ni menggatal dengan perempuan mana pulak ni? Awak jangan cuba nak cabar saya.”
Mirwan menoleh ke arah Alisa, “Awak boleh tak tunggu saya habis cerita dulu. Suka sangat buat keputusan yang terburu-buru. Wanita ini ada masalah dan dia banyak bersabar dengan perangai bakal suaminya yang kaki perempuan.”
Alisa menarik nafas lega, “Rasanya awak ni macam perli saya saja.”
Mirwan menghela nafas yang panjang, “Saya tak cakap macam tu pun. Awak suka jump to conclusion la. Wanita itu baik orangnya, dia puji katanya isteri abang ni cantik sangat.”
“Ada sajalah awak ni,” balas Alisa dengan marah.
Mirwan berpaling ke arah isterinya sambil tersenyum, “Rasanya awak ni cemburu agaknya. Awak tak perlu risau sebab hati saya telahpun dikunci hanya untuk awak.”
Alisa bangun sambil menuju ke bilik mandi. Dia memandang wajah suaminya dengan perasaan bercampur baur. Mirwan tersenyum melihat gelagat isterinya yang sedang cemburu. Kadangkala telatahnya agak keanak-anakan juga. Sudah beberapa lama hidup bersama Mirwan mula merasakan keebahagiaan yang meluap-luap yang semakin menyelubungi hidupnya. Walaupun belum dapat mengecapi kemanisan bersama namun menjalankan tanggungjawab sebagai suami sudah cukup menyempurnakan hidupnya. Dia bersyukur bila dianugerahkan seorang isteri yang cukup sempurna dan dia berdoa semoga kebahagiaan lain bakal menjelma dalam hidup mereka.
“Abang sudah lupa sesuatu ke?” tanya Alisa dengan tiba-tiba.
Mirwan membuat muka, “Apa lagi yang abang dah lupa? Bukan ke kita dah buat semua tadi?” Dia memerhatikan isterinya yang berjalan dengan lenggang lenggok keluar dari kamar mandi. Macam ada yang tidak kena sahaja hari ini.
Alisa menghampar sejadah, “Dah lupa nak sembahyang Isyak dan Tahajjud berjemaah ke?”
Mirwan kembali menepuk dahi, “Ya Allah, nasib baik sayang ingatkan abang. Maafkan abang sebab melupakan tanggungjawab penting pada agama dan keluarga.”
“Perkara kecil je tu. Usah kecoh sangat,” bebel Alisa setelah selesai mengenakan telekung putih yang dihadiahkan oleh suaminya itu.
Mirwan kembali dari kamar mandi setelah selesai mengenakan wudhuk lalu berdiri di hadapan Alisa. Pemandangan yang begitu indah apabila seorang suami mengimamkan sembahyang berjemaah bersama isterinya. Alisa hanya tersenyum memandang suaminya sambil menanti dengan sabar di belakang suaminya. Mirwan menyarungkan kain pelikat yang selalu dibawanya ketika menunaikan solat lalu mengangkat takbir. Begitu merdu suara Mirwan ketika mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dalam setiap rakaat sembahyangnya. Setiap doa yang diucapkan olehnya segalanya berkisar tentang permintaannya untuk mendapat pemeliharaan dalam perkahwinannya bersama Alisa. Selesai menunaikan solat, mereka bersalaman dan Mirwan tersenyum sendiri apabila Alisa mengucup tangannya.
Semasa di atas katil, mereka berpandangan sesame sendiri dan sekali lagi Mirwan tersenyum sendiri. Dia sudah lama tidak menatap wajah isterinya secara dekat dan ketika isterinya itu sedang nyenyak tidur dia mengambil kesempatan ini untuk menatap wajah jelita isterinya sepuas-puasnya.
“Kenapalah sayang ni cantik sangat?” getusnya dalam hati sambil tersenyum sendiri.
Dia mengoles lembut pipi isterinya dan kelihatan Alisa seperti tidak mengendahkan langsung perbuatan suaminya terhadap dirinya. Dia seakan-akan dihanyutkan mimpi indahnya sendiri. Mirwan mengucup dahi isterinya sambil mengucapkan selamat malam sebelum dia pula melelapkan matanya sendiri. Secara tiba-tiba tangan Alisa merayap ke dada Mirwan dan menyedari peluang ini, Mirwan hanya membiarkan sahaja Alisa membaringkan kepalanya di atas dadanya. Dia merasakan sebuah kebahagiaan apabila dapat bermanja dengan isterinya walaupun bukan secara sedar namun dia masih mengharapkan agar isterinya dapat menerimanya seadanya sebagai suaminya yang sah. Dia menoleh ke kanan lalu terpandang potret kahwin mereka yang seperti musuh bertemu musuh itu lalu menghela nafas yang panjang. Kelihatan seperti dirinya yang benar-benar bertepuk sebelah tangan.


Keesokan harinnya, ketika Mirwan membuka jendela chaletnya yang menghala ke laut itu, dia mendapati susuk seorang wanita yang amat familiar berdiri di hujung dek. Memang tidak silap pandangannya. Itulah wanita yang bertegur sapa dengannya semalam. Apakah yang sedang Raaudhah lakukan pagi-pagi begini? Dia berlari menuju ke dek untuk mendapatkan wanita tersebut. Raudhah kelihatan sugul dan rambutnya seakan tidak disikat. Mengenakan gaun putih yang menyerlahkan kejelitaannya, dia tampakk seperti sudah berputus asa dengan kehidupan. Mirwan segera menariknya ketika wanita itu mahu terjun dari tempatnya dan wanita itu berpaut pada kolar kemeja putih yang dipakai Mirwan ketika itu sama-sama jatuh terbaring.
“Awak mahu buat apa tadi?” tanya Mirwan dengan marah.
Raudhah menyeka airmatanya sambil menjawab, “Ini bukan masalah awak!”
Mirwan mengusap rambut wanita tersebut, “Jadi awak fikir dengan terjun tadi, awak boleh selesaikan semua masalah awak.”
“Kenapa awak begitu ambil berat pasal saya?” Raudhah bertanya sambil terpinga-pinga.
Mirwan berusaha memujuk, “Ini bukan pasal ambil berat atau tidak. Awak tidak sepatutnya mengambil jalan mudah untuk keluar dari masalah ini.”
Raudhah bingkas bangun dan berjalan menuju ke jeti, “Untung isteri awak.”
Mirwan memandang Raudhah dengan rasa kesal, “Maafkan saya. Saya harap awak tidak menyalah erti kebaikan saya ini dengan sesuatu yang lain. Saya ikhlas menolong awak.”
Raudhah memegang tangan Mirwan dengan lembut, “Saya memang maksudkannya. Saya tidak sengaja menyusahkan awak. Janganlah sibukkan diri dengan saya. Pergi layan isteri awak. Saya bukan siapa-siapa pada awak pun.”
Mirwan terlopong mendengar setiap bait kata yang diluahkan oleh Raudhah. Wanita ini mangsa keadaan dan entah mengapa dia ke sini. Mungkin sekadar mahu melepaskan jauh-jauh segala kenangan pahit dan tekanan dari saki-baki perhubungannya. Mirwan tersenyum sendiri sambil memikirkan isterinya yang sedang asyik di kamar tidurnya. Dia sepatutnya melayani isterinya ketika ini namun bukan rezekinya kerana isteri kesayangannya itu sedikit pun tidak menghiraukan keadaan dirinya. Dia seperti tidak wujud di hatinya mahupun di hadapannya.
Raudhah mengoles bahu Mirwan, “Kenapa tersenyum macam tu?”
Mirwan tersentak dari lamunannya, “Bukan apa, masalah kita ini sebenarnya hampir sama namun tak serupa.”
“Maksud awak apa ni?” Lantas Raudhah bangun menjauhinya.
Mirwan melepaskan geggaman tangannya itu, “Isteri saya sememangnya tidak mencintai mahupun menyukai saya. Kami ni dinikahkan secara paksa. Selama ini saya seorang yang bersungguh-sungguh mahu mencintainya.”
Raudhah menggeleng kepala, “Lelaki sukar nak faham perasaan wanita.”
Mirwan mengangkat kening dengan penuh tanda tanya, “Maksud awak saya belum cukup memahami perasaan wanita?”
“Salah lagi tu. Awak perlu tahu wanita ambil masa untuk menerima seseorang.”
Mirwan menggeleng kepala, “Saya masih tak mengerti. Saya nak buat macam-macam untuk meyakinkan dia namun sia-sia semuanya.”
Raudhah mengukir senyum, “Awak mampu mencairkan hati mana-mana wanita.”
Mirwan membisu sambil tertawa.
“Saya yakin awak mampu. Dia diciptakan khas untuk menjadi pendamping awak. Allah Maha Mengetahui setiap kejadian. Kamu harus tabah dalam mencintai isterimu sendiri.”
Sejurus kemudian, Alisa keluar dari chalet sambil mengenakan gaun putihnya dan rambutnya dibiarkan lepas. Matanya memandang dua susuk yang sangat familiar sedang berborak dan nampaknya perbicaraan mereka berdua agak intim. Dia perlahan-lahan mendekati mereka sehinggalah Raudhah tersedar akan kehadiran seseorang dalam perbicaraan mereka itu. Mirwan menoleh ke belakang lalu terpandang isterinya yang sungguh jelita itu berjalan menuju kepada mereka dengan sungguh marah namun kekal elegan.
“Mesranya nampak awak berdua ni. Kenalan lama ke?” Alisa bertanya selamba.
Raudhah membalas dengan tenang, “Kami bertemu semalam. Suami awak cukup baik.”
Alisa menjeling tajam kepada wanita tersebut, “Apa yang telah dia lakukan untuk kamu semalam dan pagi ini?”
Mirwan memperkenalkan Raudhah, “Sayang ini Raudhah dan kami bertemu semalam. Dialah orang yang abang ceritakan semalam pada awak.”
“Oh, perempuan malang itu ke? Kasihan saya turut bersimpati dengan keadaan awak,” kata Alisa dengan nada mengejek.
Raudhah menggeleng kepala, “Itu masalah saya dan saya akan uruskannya. Mirwan awak jagalah isteri awak baik-baik. Kalau awak ikut nasihat saya, rumahtangga awak akan menjadi lebih baik.” Dengan itu, dia berlalu sambil mengucapkan salam perpisahan pada mereka. Mirwan berdiri kaku di samping isterinya.
“Konon nak nasihat orang. Cerminlah diri sendiri dulu,” rengek si Alisa sambil menarik tangan suaminya.
Mirwan merungut sambil memandang Alisa, “Awak ni kenapa pulak tarik-tarik ni?”
Alisa berpaling pada suaminya, “Habis itu, awak nak ikut perempuan tu? Ikutlah dia saya tak kisah! Kalau awak ikut dia saya akan balik ke rumah keluarga saya.”
Mirwan mengangkat kedua-dua tangannya tanda mengalah, “Baiklah awak menang. Awak nak bawa saya ke mana pula ni?”
Alisa menjeling sinis lalu melepaskan tangannya, “Saya nak bersarapan. Dah hampir nak tengahari ni tahu? Saya lapar giler awak bukannya kisah pun.”
Mirwan menghela nafas yang panjang sambil mengikuti isterinya dari belakang, “Kasihan isteri abang ni lapar ke? Mari kita pergi makan ye?”
Mirwan tersenyum meyaksikan gelagat isterinya yang sedang merajuk itu. Kalau diikutkan dia memang terpikat kerana kecomelan telatah Alisa sejak dari mula mereka bersua dahulu. Dia tidak memahami mengapa malah selalu mempersoalkan cintanya yang mendalam terhadap Alisa. Benar dia adalah Hawa yang ditakdirkan menjadi sebelah jiwanya namun tentu ada sesuatu yang membuatkan Alisa memberikannya suatu kesan yang cukup mendalam. Anehnya walaupun sering dimaki hamun dan ditolak mentah-mentah dia masih mampu bersabar dengan setiap kehendak dan rungutan isterinya itu. Macam terkena ubat guna-guna pun betul juga sebab dia seperti terlalu mengikutkan kehendak Alisa yang tidak tentu hala itu.
“Kita makan di sinilah,” Alisa terus duduk di meja yang telah dipilihnya.
Mirwan duduk berhadapan dengannya sambil menyaksikan pemandangan saujana yang membiru. Bayu laut di sini cukup mengasyikkan dan kadangkala membuatnya terlupa akan segala masalahnya di sana.
Alisa bingkas menyoal, “Sekarang ceritakan pada saya apa hubungan awak dengan Raudhah?”
Mirwan terpinga-pinga, “Apa yang sayang cakap ni? Kami tiada apa-apalah.”
Alisa memandang ke arah laut, “Sukar untuk saya menolak kemungkinan yang awak telah curang dengan saya. Kita kan kahwin paksa jadi awak tentu faham maksud saya kan.”
Mirwan memandang isterinya dengan geram, “Saya rasa dah cukup awak menuduh saya yang bukan-bukan. Kenapa awak tidak boleh fikirkan yang baik-baik tentang saya? Saya tak kisah kalau awak tak suka saya pun tapi janganlah tuduh saya sampai begitu sekali.”
“Jadi awak nak berlagak baiklah dengan saya?” Alisa mengejeknya dengan sinis.

Menyirapnya darah muda Mirwan secara tiba-tiba. Dia selalunya mampu mengawal kemarahannya lebih-lebih lagi di hadapan isterinya. Remuk sungguh hati Mirwan bila selalu dianggap yang bukan-bukan oleh isterinya. Dia mematikan kemarahan dalam hatinya dengan beristighfar lalu memandang ke arah laut yang membiru itu. Dia sesekali mencuri pandang isterinya yang sedang sibuk menjamah makanan dan sesekali hatinya tercuit dengan perangai isterinya itu. Mirwan telah mencuba pelbagai cara untuk memenangi hati Alisa namun tiada satu pun yang menjadi. Kadangkala dia turut berasa bosan cuba untuk mendapatkan sesuatu yang jelas bukan miliknya dan dia perlu belajar untuk menerima segalanya dengan redha.

No comments: